PENGGUNAAN BAHASA DALAM GOLONGAN KANAK-KANAK

Posted by SMK TAMAN DAYA on Sunday, March 24, 2024 with No comments


Dalam kemahiran berbahasa, ada sebuah konsep yang disebut oleh seorang mahaguru dan ahli bahasa, iaitu "kod bahasa". Kod bahasa ini penting dimengerti dalam membina kemahiran berbahasa, tidak kira bahasa apa pun.

Profesor Basil Bernstein, adalah profesor sosiologi pendidikan di School of Education, University of London pada awal tahun 1950-an. Beliau mendapati kanak-kanak sekolah daripada golongan menengah sering menguasai dan menggunakan bahasa Inggeris standard di rumah dan sekolah. Ini ada kaitannya dengan prestasi mereka yang baik dalam semua mata pelajaran.

Kanak-kanak daripada golongan pekerja, terutama sekali dari London selatan, yang kebanyakannya berasal dari Jamaika, menggunakan bahasa yang tidak standard. Sebutan mereka tidak baku, perkataan mereka banyak kontot dan ayat-ayat mereka pendek-pendek dan percakapan mereka penuh dengan lambang dan isyarat yang mereka fahami antara mereka saja. Fenomena ini dikatakan mereka menggunakan kod bahasa terhad, iaitu terhad kepada mereka saja.

Dalam prestasi di sekolah mereka sering tidak mendapat markah yang baik untuk mata pelajaran bahasa, sastera, sejarah, geografi, dan subjek lain yang menggunakan bahasa standard. Namun prestasi mereka dalam matematik adalah sama saja dengan kanak-kanak lain.

Kajian Profesor Basil Bernstein menunjukkan bahawa bahasa kanak-kanak golongan menengah ini menggunakan "kod-kod yang sempurna" manakala kanak-kanak daripada golongan ekonomi rendah ini menggunakan "kod-kod yang terhad".

Yang dikatakan kod itu adalah sebarang unsur bahasa seperti sebutan, perkataan, ungkapan, ayat, makna, peribahasa, nahu, peraturan bercakap dan berbual, termasuk juga kata sapaan, gerak-geri memberi isyarat, ... dll.

Maka itu sebabnya, di PTS kami menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, iaitu neka bahasa yang menggunakan kod-kod yang sempurna. Kanak-kanak golongan ekonomi rendah menggunakan kod-kod terhad. Begitu juga, kita tidak menggalakkan bahasa yang menggunakan kod-kod yang terhad dalam kalangan staf kita di PTS.

Ada suatu kesan yang tidak baik timbul akibat menggunakan kod-kod terhad ini. Kanak-kanak yang kemahiran bahasanya tidak menggunakan kod-kod yang sempurna ini, berada dalam keadaan "defisit budaya." Apabila kita menganggap bahasa itu sebahagian daripada modal kita, maka modal budaya kanak-kanak ini sudah berada dalam keadaan defisit. Ini adalah suatu disadvantej yang serius dialami oleh mereka yang tidak menggunakan bahasa neka tinggi yang mempunyai kod-kod yang sempurna.

Namun ada kajian terakhir yang menunjukkan bahawa faktor lain juga dapat menyebabkan prestasi pelajar bertambah baik. Umpamanya penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak mereka secara positif menunjukkan itu membawa kesan baik terhadap prestasi pelajar. Mungkin tidak disebabkan oleh sekadar budaya tinggi saja.

Keprihatinan terhadap budaya lain juga patut diambil kira. Ada unsur dalam budaya orang kulit hitam umpamanya, yang dapat memberi advantej juga kepada prestasi pelajar.  Namun ini tidak menafikan kepentingan budaya dan akibat defisit budaya.

Di Malaysia, memahami budaya masyarakat Cina dan India dan sebaliknya mereka yang prehatin terhadap budaya Melayu tentu sekali membawa manfaat, katakan dalam alam pekerjaan.


Ulangan entri lama pada 17 April 2016

Abdullah Hassan


Categories: